04 June 2006

Raja Gula

Maxis, KLCC & Measat hanyalah 3 dari sejumlah besar projek yang melibatkan beliau.

T. ANANDA Krishnan adalah individu yang menguasai Maxis dan beberapa syarikat awam lain. Beliau lebih dikenali dengan nama AK. Pada tahun 2003, beliau adalah individu terkaya di Malaysia.

Kejayaan

Beliau adalah Pengasas Usaha Tegas Sdn. Bhd. dan beliau memiliki 70 peratus saham Usaha Tegas. Beliau juga memiliki sepenuhnya, yakni 100 peratus pegangan dalam Binariang Satellites Systems atau BSS.

Aspirasinya adalah menjadikan Measat Broadcast Network Systems atau Astro sebagai syarikat media bertaraf global. Melalui Binariang Satellites Systems beliau memiliki dua buah satelit orbit, iaitu Measat 1 dan Measat 2. 43 peratus pegangan dalam KLCC Holdings. Tetapi, beliau sudah menjual kepentingannya dalam KLCC Holdings dan memperoleh RM1.2 bilion.

Usaha Tegas Sdn. Bhd. pula memiliki 33 peratus kepentingan dalam Tanjong Plc, 90 peratus kepentingan dalam Maxis Communications Berhad, 100 peratus pegangan dalam Measat Broadcast Network Systems. Tanjong Plc pula memiliki 84 peratus saham Powertek Bhd.

Beliau juga mempunyai kepentingan dalam Bumi Armada Berhad, iaitu syarikat perkapalan. Objektif Bersatu Sdn. Bhd. dengan 49 peratus kepentingan. Syarikat filem yang berpusat di Hong Kong, iaitu Celestial Pictures Ltd. dengan 100 peratus kepentingan. Kepentingan Ananda Krishnan dalam Celestial Pictures Ltd. dibeli daripada Shaw Brothers pada tahun 2000 dengan harga RM292.6 juta.

Dua buah syarikat, iaitu Zodan dan Zudavi. Dua syarikat itu adalah antara enam buah syarikat yang diberikan hak menggali minyak dan gas di Indonesia pada tahun 2001. Kepentingannya dalam Bumi Armada Berhad diperoleh melalui Objektif Bersatu Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang dibeli dengan usahawan bernama Wan Ariff Wan Hamzah.

Projek-projek yang menyumbang kepada kekayaan
Antara projek yang berjaya dan mendatangkan hasil yang lumayan adalah projek pembangunan KLCC iaitu usaha sama di antara Usaha Tegas Sdn. Bhd. dan Petronas.

Melalui pegangannya dalam Tanjong Plc pula, Usaha Tegas Sdn. Bhd. mempunyai kepentingan dalam industri hiburan seperti dalam Tanjong Golden Village Cinemas. Kedua-dua Tanjong Plc dan Powertek Berhad masing-masing mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM2.2 bilion dan RM1.2 bilion. Maxis pula mempunyai seramai 2.3 juta pengguna, menjadikannya syarikat telekomunikasi yang terbesar di Malaysia.

Perkhidmatan TV Satelit Astro kini meliputi beberapa negara seperti Malaysia, Taiwan, Indonesia, India, Filipina, Brunei dan Vietnam. Di Malaysia sahaja, 850,000 orang menggunakan perkhidmatan TV Satelit Astro. Astro kini bernilai RM4 bilion. Binariang adalah syarikat televisyen satelit pertama negara, diberikan monopoli selama 20 tahun, iaitu sehingga tahun 2017.

Perniagaan di luar negara

Ananda Krishnan mempunyai kepentingan dalam bidang minyak dan gas di Amerika Syarikat, Sri Lanka, Mesir, Indonesia dan sebagainya. Beliau juga dikatakan memiliki dua buah studio animasi, sebuah di Filipina dan sebuah lagi di Hollywood. Beliau juga memiliki ladang pembakaan kuda di Australia. Selain itu, AK juga memiliki kepentingan dalam TVB.com, iaitu TV interaktif yang berpusat di Hong Kong.

Pendidikan

Ananda Krishnan berketurunan Tamil dan bapanya berasal dari Sri Lanka. Beliau bersekolah rendah di Sekolah Rendah Tamil Vivekananda, Kuala Lumpur. Kemudian, beliau bersekolah di Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke University of Melbourne bagi mendapatkan ijazah sarjana muda pentadbiran perniagaan. Bagi peringkat sarjana pula, beliau melanjutkan pengajiannya ke Harvard University, Amerika Syarikat pada tahun 1964 dalam bidang ijazah pentadbiran perniagaan. Selepas mendapat ijazah sarjananya, beliau memulakan perniagaan dalam perdagangan minyak dan gas.

Keistimewaan

Ananda Krishnan adalah usahawan yang pandai memanfaatkan teknologi baru dan peluang perniagaan yang muncul. Kebijaksanaannya terserlah lagi kerana apabila Menara Berkembar Petronas dilancarkan, kadar penghuniannya adalah 100 peratus. Kini, kadar penghuni bagi Menara Berkembar Petronas masih tinggi, iaitu pada kadar 80 peratus.

Sumbangan

Ananda Krishnan banyak menyumbang kepada aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Contohnya, beliau mendermakan sebanyak RM160 juta kepada beberapa dana pendidikan di Malaysia.

Syarikat yang menyumbang dengan jumlah RM160 juta itu adalah Maxis Communications Berhad, Tanjong Plc dan Measat Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. Daripada jumlah itu, RM100 juta didermakan kepada Dana Harapan Nusantara.

Dana Harapan Nusantara ditubuhkan oleh Ananda Krishnan sendiri melalui syarikatnya Usaha Tegas Sdn. Bhd. khas bagi pelajar Bumiputera. Dana Harapan Nusantara juga diberi peruntukan khas, iaitu 300 juta saham dalam Maxis yang bernilai kira-kira RM100 juta, yang dapat dijual apabila perlu.

Dana Harapan Nusantara juga melaksanakan pelbagai projek. Antaranya adalah projek bagi membantu pelajar Bumiputera melanjutkan pelajaran ke luar negara melalui program berkembar di universiti dan kolej swasta tempatan.

Mulai tahun 2004, 100 orang pelajar dipilih setiap tahun bagi menyertai program itu. Selain itu, sebanyak RM5 juta juga diperuntukkan bagi pengurus dan profesional Bumiputera supaya mereka dapat menyertai program pendidikan eksekutif di Harvard Business School.

Usaha Tegas juga menubuhkan Yayasan Yu Cai dengan geran awal sebanyak RM25 juta. Yayasan Yu Cai diwujudkan bagi menyemai dan membangunkan bakat dalam pelbagai bidang.

Sumbangan pertama Yayasan Yu Cai adalah sebanyak RM5 juta yang diperuntukkan bagi membantu penubuhan Jabatan Amalan dan Falsafah Tradisional Cina di Universiti Tun Abdul Razak.

Usaha Tegas juga memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia. Selain itu, Tanjong, Maxis dan Measat pula secara bersama menyumbangkan sebanyak RM10 million kepada Universiti Tun Abdul Razak.

Petikan ini adalah dari SaifulSham.com.

3 comments:

Tok Jawa said...

La..... Labanon ko copy petikan dari SaifulSham.com.. ceh create laa artikle sendirik barulah boleh maju blog!!

Dr.Love said...

Ok saya akan cuba.. bukan apa sayer copy untuk dikongsikan bersama.. k t.q Tok Jawa saya kan cuba create... SaifulSham nihs sumber inspirasi laa kirenya

Anonymous said...

I find some information here.